JASMANI

Monday, March 7, 2011

KONSEP DAN DEFINISI

KONSEP DAN DEFINISI PENDIDIKAN JASMANI

Pendidikan Jasmani adalah merupakan satu proses pembelajaran yang menyeluruh yang merangkumi semua aspek domain seperti psikomotor, kognitif, afektif, sosial dan emosi. Melalui Pendidikan Jasmani pelajar akan diberi ruang untuknya mencuba dan mengalami sendiri pengalaman semua aktiviti fizikal yang dijalaninya. (Pettitor, dalam Wee Eng Hoe 2005)

Pendidikan Jasmani berupaya menyediakan kanak-kanak untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat dengan menyediakan skop pengalaman-pengalaman pembelajaran yang rapi dan berturutan. Secara ringkasnya Pendidikan Jasmani adalah merupakan satu aspek dan dapat menghasilkan kejayaan kepada satu kumpulan pelajar (Colfer, 1986). Pendekatan dalam pendidikan jasmani masa kini tertumpu antaranya kepada nilai pendidikan yang dibina. Pendidikan jasmani juga mampu memberi sumbangan terhadap perkembangan kemahiran dan kecegasan jasmani serta menjadi pemangkin terhadap tabiat sosial yang murni. Selain itu, matapelajaran Pendidikan Jasmani dilihat sebagai alat untuk mendorong kegiatan-kegiatan kognitif seperti penerokaan, proses berfikir dan penyelesaian masalah. Kesemua ini menjadikan matapelajaran Pendidikan Jasmani dilihat sebagai satu keperluan bagi membina perkembangan keseluruhan kanak-kanak.

Dengan kata lain Pendidikan Jasmani adalah merupakan matapelajaran yang diperkenalkan di sekolah yang memiliki kesepaduan di antara domain kognitif dan domain psikomotor. Kesepaduan ini adalah seiring dengan penerapan nilai murni yang bermatlamat menghasilkan insan yang menyeluruh dan seimbang dalam satu masyarakat yang dinamis dan progresif (Asiah Abu Samah,1993).

Domain-domain yang membentuk nilai pendidikan dalam Pendidikan Jasmani

Kognitif Afektif Psikomotor
• Amalan berfikir
• Proses penerokaan
• Inkuiri penemuan
• Penyelesaian masalah
• Sikap ingin tahu
• Proses imaginasi
• Permikiran kreatif
• Permikiran kritis • Konsep kendiri
• Permahaman kendiri
• Penghargaan kendiri
• Kawalan kendiri
• Emosi
• Kecergasan
• Kekuatan otot
• Daya tahan otot
• Pengamatan motor


Aspek Kognitif

Pembangunan kognitif melibatkan pengumpulan pengetahuan dan keupayaan berfikir serta menginterprestasi. Dengan kata lain pembangunan kognitif melibatkan rangsangan pemikiran yang terdiri daripada elemen penyelidikan, kreativiti, perkaitan, kebolehan, pengamatan dan pengukuhan.

Pengetahuan dalam aktiviti pendidikan luar dapat menjadikan pendidikan luar dapat dilaksanakan dengan berkesan. Contohnya sebelum mengikuti pendidikan luar pelajar perlu mempelajari cara melaksanakan sesuatu aktiviti yang hendak dilakukan dari segi teknik dan disiplin. Kefahaman dan penghayatan cara atau teknik melaksanakan aktiviti pendidikan luar membawa kepada pelaksanaan aktiviti pendidikan luar yang lebih cekap dan berkesan.

Pengetahuan tentang disiplin pendidikan luar juga penting bagi menjadikan aktiviti yang diceburi itu menarik, berfaedah dan bermakna. Program pendidikan luar yang baik bukan saja memberi kekuatan fizikal tetapi seharusnya dapat memberi kekuatan kognitif. Dengan berfikir seperti penyelesaian masalah, pemahaman, penilaian dan kreativiti seharusnya diserapkan dalam aktiviti pendidikan luar.


Aspek Afektif

Matlamat utama yang diingini oleh semua program pendidikan luar pada umumnya tertumpu kepada perkembangan individu dan kemahiran bersosial. Perkembangan individu melibatkan sikap, emosi, apresiasi, dan nilai dan pembentukan sahsiah. Kemahiran bersosial pula melibatkan interaksi dan corak komunikasi dengan orang lain. Pendidikan luar memberi sumbangan terhadap perkembangan sikap dan konsep kendiri kerana hubungan yang akrab akan berlaku ketika menjalankan aktiviti pendidikan luar.

Pendidikan Jasmani perlu menekankan nilai yang baik seperti menolong orang lain, mengiktiraf sumbangan, kepentingan menjaga kebersihan, penggunaan masa lapang yang berguna, memiliki sikap positif terhadap kecergasan, menghormati orang lain dan pemimpin serta bekerjasama dalam kumpulan dalam aktiviti fizikal. Emosi adalah suatu elemen yang penting dalam perkembangan kanak-kanak melalui penglibatan di dalam pesertanya. Contohnya dengan aktiviti pendidikan luar peserta akan membentuk persefahaman peranan secara luaran dan dalaman diri.

Pendidikan luar adalah suatu medium yang dapat membantu dalam pembangunan sosial. Pendidikan Jasmani akan menolong individu menyesuaikan diri dengan keadaan dan ahli masyarakat. Melalui kepimpinan yang sempurna dan teratur akan menjadi pendidikan luar sebagai jambatan utama untuk mencapai matlamat sosial.


Aspek Kemahiran Psikomotor

Aspek Psikomotor memberi tumpuan kepada perihal kuantiti pergerakan yang mampu dipamerkan. Psikomotor ini juga melibatkan beberapa prinsip asas seperti kekuatan, kelenturan, daya tahan kardiovaskular dan otot, ketangkasan, kepantasan dan kelajuan. Di dalam Pendidikan Jasmani suaian aspek ini perlu difokus selepas pelajar melepasi tahap minimum aspek fizikal dan psikomotor.

Bucher (1979) mengatakan bahawa pelajaran Pendidikan Jasmani berkemampuan untuk memberi sesuatu hasil yang berkesan kepada pelajar melalui proses pembelajaran yang telah digariskan dalam suatu kurikulum bagi memenuhi keperluan pelajar. Menurut Weston (1979) yang berpandangan bahawa kurikulum yang dihasilkan adalah program yang dirancang untuk kepentingan pelajar yang telah mengambil kira semua faktor utama seperti sekolah dan keperluan pelajar sebagai matlamat.

Menurut Raddick (1982) Pendidikan Jasmani adalah sebahagian daripada pendidikan seseorang yang menggunakan aktiviti fizikal sebagai medium pendidikan. Ianya menekankan tentang pembentukkan sikap, pengetahuan dan kemahiran yang berhubung dengan kesihatan, kecergasan dan rekreasi dengan cara yang unik sehingga cara hidup dan kualiti seseorang ditingkatkan. Ianya lebih menekan pendidikan melalui Pendidikan Jasmani.

Pukal KBSM (1992) mendefinisikan pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) bertujuan untuk menjadikan pelajar lebih sihat, cergas dan produktif. Ketiga-tiga unsur ini dapat dilakukan melalui pemupukan dan penerapan nilai, sikap, pengetahuan dan amalan kesihatan dan kecergasan dalam kehidupan seharian. Pendidikan Jasmani adalah matapelajaran yang menekankan kepada proses pembelajaran dan pengajaran melalui aktiviti fizikal yang menyumbang ke arah pertumbuhan mental, fizikal, sosial dan emosi (Teng Boon Tong 2001).

Oleh yang demikian Pendidikan Jasmani boleh didefinisikan sebagai matapelajaran yang memberi penekanan terhadap proses pembelajaran dan pengajaran melalui aktiviti fizikal yang menyumbang ke arah pertumbuhan mental, fizikal, sosial dan emosi. Ianya juga bertujuan untuk menjadikan pelajar lebih sihat, cergas dan produktif melalui pemupukan nilai, sikap, pengetahuan serta amalan kesihatan dan kecergasan dalam kehidupan seharian.

FALSAFAH, MATLAMAT DAN OBJEKTIF

Falsafah

Falsafah berasal daripada perkataan yunani tua yang philosophia yang bermaksud cinta kepada pengetahuan dan hikmah. Russle memahami falsafah sebagai sesuatu di antara teologi (ilmu ketuhanan dan agama) dan sains (sains-sains fizik dan kemanusian). Falsafah adalah sesuatu yang terletak di antara sains dan teologi.

Falsafah merupakan susunan ayat yang digunakan secara jelas tentang sesuatu pegangan. Falsafah akan mempengaruhi secara keseluruhan terhadap prinsip, teori dan cara kerja dalam sesuatu aktiviti. Ciri-ciri falsafah yang baik:
• Falsafah mempunyai susunan ayat yang jelas.
• Falsafah bukan menekankan kepada teori tetapi lebih kepada aktiviti.
• Falsafah menekankan kepada prinsip menjelaskan.
• Falsafah yang baik tidak bergantung kepada jumlah ayat tetapi kepada keupayaan memberi penerangan.
• Falsafah seharusnya memberi panduan yang tepat.

Bucher (1979) menyatakan bahawa falsafah adalah sesuatu yang diasaskan dari objektif yang mampu memberikan kefahaman, pengertian dan suatu tafsiran terhadap sesuatu prinsip dan konsep. Objektif utama yang digariskan dalam PJ adalah bertujuan untuk mencapai matlamat kandungan pelajaran yang merangkumi kesemua aspek domain pembelajaran.

Falsafah yang menepati kehendak pembelajaran akan berupaya membantu guru memahami semua tugasan secara menyeluruh bukannya secara berasing-asing. Ini bermakna melalui falsafah secara tidak langsung akan berupaya membantu guru supaya memahami peranannya yang telah ditetapkan. Dengan kata lain juga falsafah juga boleh diibaratkan sebagai petunjuk arah dan mampu membantu guru menghasilkan rumusan serta mampu membentuk matlamat secara tersusun dan berterusan.

Zeigler (1962) berpendapat falsafah dapat membantu guru memahamidan menghayati tanggungjawab pengajarannya dengan lebih menyeluruh. Ini dapat membantu menimbulkan kesedaran kepada guru untuk menumpukan peranannya melalui perancangan yang berlandaskan kepada objektif pengajaran yang sepatutnya.


Matlamat dan Objektif

Menurut Bucher dan Wuest (1987) penetapan matlamat dan objektif dalam Pendidikan Jasmani dapat membantu matapelajaran ini dalam aspek-aspek seperti berikut:
1. Memahami apa yang hendak dilakukan.
2. Membantu dalam menghasilkan keputusan yang lebih bermakna ketika berhadapan dengan masalah.
3. Memahami dengan lebih mendalam mengenai nilai Pendidikan Jasmani.
4. Memahami sumbangan Pendidikan Jasmani kepada masyarakat.
5. Menjelaskan tugas guru Pendidikan Jasmani kepada masyarakat.
6. Menghargai dan mengambilberat pencapaian murid melalui penglibatan mereka di dalam program di bawah penjagaan mereka.
Aktiviti Pendidikan Jasmani yang dilaksanakan di sekolah adalah merupakan aktiviti yang terancang dan berupaya memberi ruang persekitaran yang baik bagi membantu murid menghayati kepentingan kecergasan dan penjagaan kesihatan. Oleh ynag demikian guru perlu sentiasa memahami matlamat utama Pendidikan Jasmani iaitu:

Pendidikan Jasmani adalah bertujuan membantu murid menjadi cergas melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecergasan.
(Pusat Perkembangan Kurikulum,1999)


Seiring dengan matlamatnya guru perlu memahami objektif utama Pendidikan Jasmani yang digariskan seperti berikut:

1. Mempertingkat dan mengekalkan kecergasan berasaskan kesihatan dan
perlakuan motor;
2. Menguasai kemahiran asas pergerakan dan permainan mengikut kemampuan diri;
3. Melakukan senaman dan aktiviti fizikal sebagai rutin harian;
4. Mengaplikasikan pengetahuan kesihatan dan keselamatan semasa menyertai pelbagai kegiatan fizikal
5. Membentuk sahsiah dan disiplin diri; dan
6. Membuat keputusan bijak dalam kehidupan
(Sukatan Pelajaran Rendah Menengah, Pendidikan Jasmani, 1999)

Berdasarkan objektif Pendidikan Jasmani yang secara umumnya bertujuan untuk mencapai tahap kecergasan dan menguasai kemahiran sukan. Menurut Seefeldt dan Vogel (1986) persoalan mengenai objektif ini telah memberi tumpuan khusus kepada hubungan antara amalan kesihatan dengan kecergasan fizikal dan kemahiran motor sebagai satu kaedah yang mampu mengawal penyakit dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian dapat dirumuskan bahawa falsafah digunakan sebagai panduan dan penggerak dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Objektif dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk menghasilkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi dan sosial maka melalui Pendidikan Jasmani kesemua aspek ini boleh dicapai. Ini adalah berdasarkan keperluan dan inspirasi yang telah dinyatakan di dalam Buku Panduan Guru Pendidikan Jasmani Kesihatan (1988) Kementerian Pendidikan Malaysia.

No comments:

Post a Comment